
AZAD merenung tajam gadis di hadapannya. Gelisah tak menentu sejak menerima panggilan ringkas dari entah siapa sebentar tadi. Duduk di kerusi macam punggung di atas bara, gumam hatinya melihat gelagat Sorfina yang sesekejap beralih ke kiri dan tidak lama selepas itu dia duduk tegak pula.
Biarpun beberapa waktu telefon bimbit dimatikan, Sorfina masih berusaha meneruskan perbincangan dengan Azad dalam tenang. Namun tubuh badan saja di sini, sedangkan minda dan jiwanya sudah melayang ke sisi Jessenia. Kenapa dengan dia? Apa yang terjadi sebenarnya? Ah, Jess... pening aku dengan kerenah kau. Sorfina terus-terusan melayan kata hati. Terngiang-ngiang permintaan Jessenia yang mahu dia datang ke apartmennya secepat mungkin. Ada hal kecemasan! Itu saja yang dinyatakan.
“Apa ke hal ni dengan awak? Macam kucing nak beranak saja saya tengok. Siapa yang telefon tadi? Apa dia nak?” Azad mencelah pemikiran Sorfina dengan beberapa soalan sesudah perbincangan mereka asyik terganggu dengan sikapnya yang sekejap-sekejap alpa dan hilang fokus.
“Hah? Err... mm, tak ada apa-apa.” Sorfina berdalih. Termenung sejurus dia. Perlukah aku memberitahu perkara ini kepadanya? Oh, tidak! Habib tu kawan dia. Tak mungkin dia akan sokong Jessenia. Hatinya berkata-kat sendiri. “Err, perbincangan ni dah selesai ke Encik Azad?”
“Belum,” jawab Azad sepatah. Serentak itu dia perasan air muka Sorfina sudah jelas begitu stres, bagai menanggung satu beban yang berat. “...tapi saya dah tak ada selera nak teruskan. Apa pun yang mengganggu fikiran awak tu, pergilah selesaikannya. Take the day off and settle it by today. I don’t want to see your gloomy face by tomorrow. Get it?” tegas Azad. Tersinggung kerana urusan kerjanya terganggu dengan situasi begini. Tetapi, lebih baik dilepaskan gadis ini untuk bereskan masalahnya daripada membiarkan ia membelenggu fikiran. Kelak, urusan kerja akan tersangkut bila tugas yang diamanahkan ada salah silapnya.
“Dah. Cukup, cukup. Just go and get it settled!” Azad mengangkat tangannya bagi menampan jawapan yang meniti di bibir gadis itu. “Awak nak argue ke, nak protes ke... esok saja.” Muktamad kata-katanya, lalu dia bangkit dari kerusi. Tidak mahu membuang masa lagi.
Sorfina jadi tergamam. Dirinya hanya mampu mengangguk kecil. Sakit hatinya dengan kutukan yang diterima. Ingin memberikan jawapan balas, tetapi tidak diberi peluang pula. Namun dalam masa yang sama dia lega dan bersyukur dengan sikap Azad yang membenarkan dia keluar untuk menguruskan hal Jessenia yang kecemasan saat ini walaupun dalam keadaan separuh rela.
Azad hanya merenung pintu bilik yang ditutup Sorfina. Dalam hati prihatin juga tentang perkara yang membuat gadis ini berubah cemas sekelip mata. Apakah masalah yang timbul? Siapa yang menelefonnya tadi? Masalah dengan teman lelaki ke? Air mukanya berkerut membayangkan penglibatan Sorfina dengan lelaki. Sejauh mana?
0 comments:
Post a Comment